Entah kenapa tiba-tiba memori bersama nenek masa kecil dulu datang menjengah, tanpa diundang. Aku bersyukur dikurniakan dua orang nenek, Nenek Martilah dan Nenek Saadiah. Kedua-duanya telah pergi menemui Illahi. Nenek Saadiah pergi ketika aku berusia 23 tahun dan baru memulakan karier dan Nenek Martilah pula pergi meninggalkan ku saat aku baru mengecapi kemanisan menjadi seorang ibu.
Sebagai seorang wanita melayu dan tinggal dikampung, kedua-dua nenekku memiliki kemahiran yang pelbagai. Nilai kemahiran tersebut pasti tinggi dalam zaman moden ini. Nenek Saadiah mahir dalam bidang anyaman tikar mengkuang, bakul dan macam-macam lagi. Memandangkan abah anak lelaki tunggal Nenek Saadiah, dia tinggal bersama kami. Rumah kami cukup sederhana, tapi lantai rumah kami sentiasa di tata dengan anyaman Nenek Saadiah yang indah dan berseni. Dari lantai tempat kami makan, sehinggalah tempat tidur kami di lapisi dengan tikar anyaman Nenek Saadiah.
Selain dari menganyam tikar, Nenek Saadiah juga dikurniakan kepandaian menngubati kaki atau tangan yang terseliuh dengan hanya menjirus air sejuk sebanyak 3 kali. Sayangnya, aku masih di sekolah rendah dan kemudiannya aku bersekolah asrama menengah, aku tidak dapat mewarisi segala ilmu kepandaian Nenek Saadiah.
Nenek Martilah pula lain kepandaiannya. Rumah Nenek Martilah di kelilingi kebun kelapa. Masih jelas diingatan Nenek Martilah membuat minyak kelapa. Selepas kelapa kelapa tua dikumpulkan, dibelah dan diparut, Nenek Martilah akan memerah santan kelapa dengan sepenuh tenaganya. Aku cuma memerhati dari jauh. Selepas itu, belanga santan dijerang atas api sederhana tempurung kelapa dan dimasak sehingga terbit minyak. Proses yang agak lama untuk menghasilkan minyak masak. Selain dari minyak kelapa, isirung kelapa yang telah disalai (juga dipanggil kopra) juga dijual kepada peraih. Biasanya Nenek Martilah akan mengupah orang untuk mengait dan mengumpul kelapa yang cukup tua. Kelapa yang telah dikumpul akan dipindahkan ke rumah salai. Rumah salai berbentuk A (lihat rajah)
Kelapa yg telah dibelah, dinaikkan di sebelah atas rumah salai dan disusun terlungkup ke lantai yang jarang. Api akan dihidupkan di bawah rumah salai dan bara akan ditinggalkan semalaman untuk proses mengeringkan atau mengecutkan isi kelapa dari tempurung. Setelah cukup masanya, sekumpulan wanita kampong akan bersama alat mencungkil yang bentuknya seperti ‘screw driver’ yang ditempa dan dileperkan hujungnya. Dengan alat cungkil, isi kelapa dikeluarkan dari tempurung dan tempurung akan dicampakkan ke bawah. Kalau orang sedang mencungkil kelapa di atas, jangan lah berjalan dibawah salai, silap-silap, terkena balingan tempurung atas kepala !! Tempurung yang kering tersebut akan digunakan sebagai bahan bakar salai. Seperti proses ‘recycle’. Tidak ada yang terbuang. Selepas itu, isirung kelapa yang sudah siap dicungkil akan terus dikeringkan sehinggalah ianya boleh dijual.
Selain dari isi kelapa, nira kelapa juga Nenek Martilah proses jadikan gula Melaka. Nenek Martilah tidak menyebutnya gula Melaka, tapi gula Tapak. Kenapa? Aku pun tak tahu…hmmm. Tapi prosesnya aku masih ingat lagi. Arwah Embah (Atuk dalam bahasa Jawa) akan mengumpulkan nira kelapa dalam bekas buluh dan setiap pagi Atuk akan mengutip semua bekas buluh berisi nira kelapa ke bangsal memasak gula tapak. Selepas menuang semua nira kelapa dalam kawah, api pun dihidupkan (dari sabut dan tempurung kelapa). Nira akan dimasak sehingga warnanya bertukar menjadi warna coklat gelap. Sebelum gula masak, aku akan menolong menyusun cetak dari potongan buluh setebak 1½ inci di atas dulang kayu yang rata. Bila nira sudah cukup masak, Nenek Martilah akan menceduk gula dengan senduk dan disenduk kedalam cetak buluh, satu persatu…… sehingga semua gula dalam kawah habis. Tugas aku senang saja……bila gula sudah keras, aku lah yang akan menangkat cetak buluh dan tinggallah gula tapak yang mendak di tengahnya. Seronok betul dapat menolong Nenek Martilah ketika itu.
Embah pun sudah lama meninggalkan kami, lebih dulu dari Nenek Martilah. Semoga Allah menempatkan roh Embah, Nenek Martilah dan Nenek Saadiah dikalangan orang-orang yang beriman. Amin…..

No comments:
Post a Comment