Monday, May 30, 2011

Selamat Datang ke Kelab 40













Alhamdulillah! Pada 12 Mei 2011 yang lalu, genaplah umur saya 40 tahun. Tiada yang dapat saya ungkapkan selain dari rasa syukur kehadhrat Allah S.W.T atas rahmat dan keindahan dunia kepada saya. Saya masih dikelilingi keluarga dan sahabat handai. Kedua ibubapa dan ibubapa mertua masih sihat, cuma kadang-kadang mereka uzur.

Anak dan suami tersayang menghadiahkan makan malam yang cukup indah, termasuk kad ucapan buatan sendiri dari Tareq.

Sahabat baik pula tidak lupa menghadiahkan gubahan mawar tiga tangkai beserta coklat dan seekor ‘teddy bear’ yang comel. Rakan sekerja pula tidak lupa membawa saya makan tengahari di sebuah restoran ekslusif berdekatan dengan pejabat.

Teringat pula menelefon Mak pada harijadi.

“Assalammualaikum Mak! Akak ni!” Saya membahasakan diri saya akak pada Mak semenjak saya kecil dan belum ada adik lagi.

“Waalaikumsalam” jawab Mak

“Hari ni harijadi akak…..yang ke 40!” ujar saya ceria.

“Selamat Hari Jadi….. Semalam Mak ada buat baca Yassin dan doa selamat dengan kawan-kawan mengaji. Doakan anak Mak ni selamat dan sejahtera” jawab Mak.

“Terima kasiihhhhhh!” aku jawab dengan nada ceria dan sedikit terharu.

Sesungguhnya, aku amat berterima kasih atas segala ucapan yang kuterima sempena usiaku 40 tahun dan sebahagian besarnya ucapan “Selamat Datang ke Kelab 40”

Terima Kasih semua!!!!

Tuesday, March 8, 2011

Berbuat Baik

Saya selalu diingatkan oleh mereka yang lebih berusia….”buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”. Setelah menempuh hidup masuk ke tahun yang ke 40, hendak tak hendak saya terpaksa menelan kebenaran kata-kata ini. Kata bidalan ini memang penuh bermakna dan harus dijadikan pendinding diri walau dimana kita berada. Sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran dan taraf tertinggi antara ciptaan Allah S.W.T, kita haruslah berbuat baik sesama manusia. Malah haiwan dan ciptaan Allah S.W.T lain turut harus dihormati.

Ada pelbagai jenis perbuatan baik yang dituntut dalam Islam. Yang paling utama bagi setiap anak adalah berbuat baik kepada ibubapa.

Rasulullah S.A.W bersabda

“peliharalah daripada berbuat dosa dengan wanita lain kerana nescaya akan terpelihara isteri dan anakmu daripada lelaki-lelaki lain berbuat dosa dengan mereka. Berbuat baiklah kepada ibubapamu kerana nescaya anak-anakmu akan berbuat baik padamu” – Hadith Riwayat Hakim

Tanpa kedua ibubapa, tiada lah kita terlahir di dunia ini. Saya turut mengingatkan diri sendiri supaya tidak terleka dalam berbuat baik pada ibubapa dan menerapkan nilai murni ini pada anak tunggal saya, Tareq. Bukan wang ringgit yang mereka pinta. Kehadiran anak cucu sudah cukup menggembirakan hati mereka. Hidup adalah seperti putaran roda, sekejap kita diatas dan sekejap kita dibawah. Bak pepatah Inggeris “what goes around, comes around”. Setiap perbuatan pasti ada pembalasan.

Namun dalam menjalani hidup, kita berdepan dengan pelbagai golongan lagi yang kita patut berbuat baik. Antaranya ialah jiran-jiran kita. Saya amat bersyukur dikurniakan jiran dari pelbagai bangsa. Jiran sebelah rumah ialah pasangan Melayu yang baru setahun bernikah. Jiran tingkat atas pula berpangkat abang dan kakak. Jiran satu tingkat di bawah unit saya ialah seorang wanita India beragama Kristian dan dua jiran di tingkat bawah dan satu adalah berketurunan Tionghua.

Kami sudah berjiran selama 9 tahun. Kami melalui kelahiran, perkahwinan, kematian dan keraian bersama-sama. Tiada perselisihan faham antara kami, Alhamdulillah! Masing-masing menghormati kelainan budaya dan agama. Kami sentiasa bertegur sapa sesama sendiri pada setiap peluang bertemu, walaupun saya tidak berapa gemar berbual ala ‘mesyuarat tingkap’. Ada seorang wanita Tionghua tua yang tinggal bersama anak menantu di tingkat satu. Beliau sentiasa berada di kebun kecilnya di laman bawah. Sesiapa saja yang turun untuk keluar ke kereta masing-masing, pasti akan disapanya mesra. Kami akan menjawab....”Ah Po, sudah makan?”

Rasulullah S.A.W bersabda

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” - Hadis Riwayat Muslim

Hadith diatas menekankan sesungguhnya berbuat baik kepada jiran melengkapkan lagi keimanan kita kepada Allah. Tetamu yang datang berkunjung haruslah dihormati. Sesungguhnya tetamu datang membawa bersama rezekia dan apabila mereka pulang mereka membawa keluar keburukan. Kita turut diperingatkan bahawa berdiam itu adalah lebih baik dari berkata-kata yang tidak berfaedah apatah lagi memudharatkan silaturrahim sesama insan.


Sesungguhnya dari Dia kita datang dan kepada NYA kita pulang. Amin.